Saturday, December 12, 2009

Lebih 600,000 Pendatang Asing Dikesan Di Sabah

Sumber: http://www.sabahdaily.com/
19 Oktober 2009

Jumlah keseluruhan pendatang asing yang dikesan di kawasan pantai barat dan timur Sabah setakat ini ialah seramai 610,104 orang, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata perangkaan itu merangkumi pengenalpastian melalui Operasi Bersepadu Fasa I (Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Tulen) seramai 5,643 orang, Operasi Bersepadu Fasa II (PATI Tulen) seramai 4,427 orang, Pendaftaran Pekerja PATI (tanpa dokumen) berserta tanggungan seramai 312,837 orang, Pelarian seramai 57,197 orang dan Pekerja Asing (Secara Sah dan Berdokumen) seramai 230,000 orang.

Katanya kejayaan paling signifikan keseluruhan Operasi Bersepadu itu ialah apabila seramai 312,837 orang Pekerja PATI (tanpa permit kerja/tanpa dokumen) berserta tanggungan telah dapat didaftarkan melalui Program Pendaftaran Pekerja PATI dengan majikan di Sabah.

“Melalui program ini yang telah bermula dari 1 Ogos 2008 hingga 31 Oktober 2008, para majikan yang sebelum ini telah mengambil Pekerja Asing secara tidak sah diarahkan untuk mendaftarkan pekerja mereka dan sekali gus menguruskan dokumen mereka secara sah tanpa diambil tindakan undang-undang,” katanya.

Hishammuddin berkata demikian kepada pemberita selepas melawat pejabat polis marin di sini, Ahad.

Beliau berkata Jabatan Imigresen telah menetapkan sehingga 31 Mei 2009 untuk para majikan menjelaskan levi para pekerja mereka.

Pendekatan ini diambil untuk menjaga kepentingan industri-industri di Sabah khususnya sektor perladangan.

“Sekiranya tindakan drastik diambil untuk pengusiran, semua sektor terlibat akan terjejas serta merta. Pada masa yang sama, pendaftaran ini akan membolehkan data diperolehi untuk mempermudahkan proses pengesanan dilaksanakan dari semasa ke semasa,” katanya.

Hishammuddin berkata kementeriannya telah memberi peluang kedua untuk para majikan mendaftarkan para pekerja PATI mereka secara sah.

“Tempoh yang sepatutnya tamat pada 31 Mei 2009 dilanjutkan sehingga 31 Oktober 2009. Pada masa yang sama, bermula 1 Julai 2009 sehingga 31 Oktober 2009, KDN telah memberikan diskaun 50 peratus kadar levi bagi setiap seorang pekerja asing mengikut amaun yang telah ditetapkan bagi setiap sektor di Sabah,” katanya.

Beliau berkata daripada sejumlah 312,837 orang PATI dan tanggungan tersebut, sebanyak 192,723 pekerja dan tanggungan telah didaftarkan secara sah.

Ini bermakna masih ada seramai 120,114 orang yang masih belum didaftarkan secara sah, katanya.

– BERNAMA

No comments: