Sunday, September 6, 2009

Mat Salleh

Mat Salleh atau nama sebenarnya Datu Mat Salleh merupakan pejuang Sabah yang terkenal dalam memberi tentangan yang hebat kepada penjajahan Inggeris di Sabah. Mat Salleh pernah mengisytiharkan daerah Tambunan atau dalam bahasa Mat Salleh 'Negeri Tambunan' sebagai daerah di bawah kekuasaannya. Mat Salleh berasal daripada suku Suluk Paitan. Ayahnya, Datu Balu berkahwin di Inanam dengan seorang perempuan suku Bajau. Hasil daripada perkahwinan mereka itu lahirlah empat orang adik-beradik iaitu Ali, Mat Salleh, Badin dan Bolong.

Isteri Mat Salleh bernama Dayang Bandang, berasal daripada keluarga Sultan Sulu dan berkampung di Pengalaban, Paitan. Kota Kampung Tibabar, Tambunan adalah salah sebuah kota utama pertahanan Mat Salleh yang kuat. Kota ini ialah benteng terakhir Mat Salleh dalam usahanya memimpin orang-orang Sabah menentang Inggeris.

Kejatuhan kota ini pada tahun 1900 akibat serangan hebat Kompeni Hindia Timur Inggeris dan berjaya mematahkan pertahanan Mat Salleh. Malah peristiwa itu menandakan gugurnya Mat Salleh sebagai pejuang bangsa.

Datu Mat Salleh mengambil tugas bapanya, Datu Balu sebagai ketua kampung di daerah Lingkabo dan Sungai Sugut. Perbelanjaan pentadbiran Datu Mat Salleh adalah daripada pungutan cukai ke atas pedagang-pedagang yang melalui Sungai Sugut pada tahun 1894.

Inggeris tidak senang dengan tindakan Mat Salleh itu, lalu menyerang Mat Salleh di Jambongan serta memusnahkan kubu Mat Salleh di Sungai Sugut pada tahun 1896 hingga 1897.

Datu Mat Salleh bagaimanapun dapat melepaskan diri. Detik perjuangan Datu Mat Salleh menentang pencerobohan dan keganasan Kompeni Hindia Timur Inggeris bermula pada bulan Julai 1897.

Mat Salleh dan pengikut-pengikutnya menyerang dan membinasakan pejabat Pentadbiran Kompeni Hindia Timur Inggeris di Pulau Gaya. Dalam tahun yang sama juga Mat Salleh menyerang dan membakar Pejabat Residen Kompeni Hindia Timur Inggeris di Ambong.

Pada bulan Disember 1897, Inggeris menyerang kubu Mat Salleh di Ranau. Mereka tewas dan banyak askar Inggeris terbunuh termasuk Jones yang mengetuai serangan tersebut.

Pada bulan Januari 1898, Inggeris sekali lagi menyerang kubu Mat Salleh di Ranau dengan angkatan yang lebih besar. Mat Salleh berjaya mengundurkan diri dan membina kota pertahanan yang baru, yang lebih kuat dan kukuh di kampung Tibabar, Tambunan.

Kota utama Mat Salleh di Tambunan ini sangat sukar ditembusi. Kota ini diperbuat daripada batu-bata, kayu serta buluh tidak dapat ditembusi peluru.

Setiap penjuru kota dikawal dan terdapat beberapa terowong atau jalan bawah tanah yang rahsia digunakan untuk meminta bantuan-bantuan senjata, makanan dan lain-lain dari luar kota. Jalan rahsia ini juga dijadikan jalan untuk berundur menyelamatkan diri apabila dikepung musuh.

Kini sebuah tugu dibina oleh Inggeris untuk memperingati kota Mat Salleh itu. Di tugu peringatan itu, tertulis perkataan dalam bahasa Inggeris yang bererti, 'Tugu ini menandakan tapak kubu Mat Salleh yang telah ditawan oleh Pasukan Bersenjata North Borneo Constabulary pada 1 Februari 1900. Dalam masa pertempuran itu, Mat Salleh yang telah mengetuai pemberontakan selama enam tahun menentang Pentadbiran Chartered Company menemui ajalnya'.

Pada pandangan British, Mat Salleh dianggap sebagai seorang pemberontak, tetapi bagi rakyat tempatan, dia ialah pejuang kemerdekaan dan seorang pahlawan.

Petikan : Kesan Sejarah Dan Tempat-tempat Menarik Negeri Sabah - Negeri Di Bawah Bayu, Mohamed Roselan Abdul Malek, Oscar Book International, 1998.

Wednesday, September 2, 2009

Masalah Pelarian Filipina Di Sabah Berada Di Persimpangan


Oleh : Newmond Tibin


KOTA KINABALU, 27 Julai (Bernama) - Walaupun terpaksa menghabiskan sebahagian besar usianya di Sabah berbanding di daerah asalnya di Tawi-Tawi Filipina, namun Daliat Tabun tidak pernah menyesali keadaan itu.


Warga Filipina ini pertama kali menjejakkan kaki di Sabah 30 tahun lepas kerana melarikan daripada perang saudara di Mindanao dan akhirnya dia jatuh cinta dengan bumi yang dikenali sebagai Negeri Di Bawah Bayu ini.


Kini, Daliat Tabun, 57, bukan pelawat asing biasa, tetapi merupakan "orang asing istimewa" kerana memiliki dokumen IMM13 yang membenarkannya tinggal di negeri itu.


Dokumen IMM13 merujuk kepada pas khas yang dikeluarkan Jabatan Imigresen kepada pelarian tulen Filipina akibat perang bagi membolehkan mereka tinggal di Sabah.


Kini, Daliat menunggu untuk diberi status Penduduk Tetap (PR) setelah tinggal di Sabah hampir tiga dekad lepas.


"Saya berasa bertuah kerana diberi keistimewaan memiliki dokumen IMM13. Ini adalah impian saya dan ribuan pelarian Filipina di Sabah," katanya kepada Bernama ketika ditemui di kem penempatan semula pelarian di Telipok, kira-kira 20km dari sini.


Kem Penempatan Semula Telipok dan tiga kem lain di Sabah - di Kinarut, Tawau dan Sandakan - dibuka oleh Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) bagi menempatkan mereka yang melarikan diri daripada peperangan antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) pada awal 1970-an.


Selepas beberapa dekad meninggalkan kampung halamannya, kini, Daliat tidak lagi berkeinginan untuk kembali menetap di daerah asal-usul nenek moyangnya walaupun diberi peluang berbuat demikian.


"Siapa yang mahu pulang semula ke Tawi-Tawi? Kami tak punya apa-apa lagi di Tawi-Tawi. Yang tinggal hanyalah kenangan manis semasa zaman muda di Tawi-Tawi," kata ibu kepada tujuh anak ini yang mendirikan rumah tangga dengan jejaka impian dari Tawi-Tawi, yang hanya dikenali sebagai Husin.


Anaknya Najir, 24, yang duduk bersebelahan ibunya mencelah: "Saya bukan orang Filipina tuan. Saya orang Sabah bah, saya lahir sini".


Najir, pelajar yang tercicir dari sekolah dan menjadi peminat setia penyanyi popular Malaysia Datuk Siti Nurhaliza, tidak mempunyai pekerjaan tetap dan sekadar membantu mengendalikan kedai runcit milik keluarganya di kem penempatan semula itu.


Daliat berkata semua anaknya, yang berumur antara 14 dan 32 tahun, dilahirkan dan dibesarkan di Sabah.


"Semua anak kami dilahirkan di Malaysia, tapi mereka juga memegang dokumen IMM13 dan nasib kami hanya bergantung pada ihsan Jabatan Immigresen kerana kami perlu memperbaharuinya setiap tahun dengan bayaran RM90 setiap satu.


"Inilah nasib kami sebagai pelarian. Tapi, apa yang merisaukan kami sekarang ialah operasi besar-besaran bagi mengusir pendatang asing tanpa izin, termasuk yang datang dari Filipina," katanya.


Walaupun operasi besar-besaran itu disasarkan terhadap pendatang asing tanpa izin, tetapi rakyat Filipina yang mempunyai dokumen IMM13 juga bimbang tentang masa depan mereka.


"Hari ini, kami bertuah kerajaan Malaysia mahu mengusir pendatang asing. Esok mungkin lain pula ceritanya. Kami tak tahu apa tindakan kerajaan seterusnya. Sebenarnya, masa depan kami tergantung di awang-awangan," katanya.


Minggu lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata operasi penghantaran pulang antara 100,000 dan 150,000 pendatang asing di Sabah akan bermula Ogos ini dan urusan itu akan dilaksanakan terlebih dulu di kawasan pantai barat sebelum menuju ke pantai timur.


Kebimbangan Daliat timbul berdasarkan kenyataan bahawa pemberian dokumen IMM13 hanyalah sebagai langkah sementara, terutama bagi pelarian perang yang berasal dari selatan Filipina, dan mereka akan kembali ke negara asal apabila keadaan di sana kembali seperti sediakala.


Masalah yang dihadapi keluarga Daliat ini hanyalah sebahagian kecil daripada pelbagai masalah lain yang dihadapi ribuan pelarian Filipina yang tinggal di kem penempatan semula di seluruh Sabah. Beribu-ribu pemegang dokumen IMM13 ini sentiasa mendoakan agar nasib mereka menjadi semakin baik pada masa akan datang.


Kini, penduduk tempatan dan pemimpin negeri cuba membayangkan bagaimanakah nanti nasib pelarian itu menjelang 2020, apabila Malaysia mencapai status negara maju.


Ahli politik, termasuk pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) yang memerintah Sabah serta parti pembangkang, menyuarakan keprihatinan mereka tentang perkara itu dan ada juga dalam kalangan mereka mengambil kesempatan daripada isu berkaitan pendatang tanpa izin dan dokumen IMM13 bagi mengkritik kerajaan pusat dengan berkata "tidak wujud istilah pelarian tetap kerana keadaan di Selatan Filipina kini sudah kembali seperti sediakala."


Ahli-ahli politik ini berharap kerajaan pusat, khususnya Jabatan Imigresen, akan menyelesaikan semua anamoli berkaitan kedudukan pemegang IMM13 di Sabah.


Malah, terdapat cadangan agar dipertimbangkan kemungkinan memberi taraf penduduk tetap (PR) kepada kumpulan pelarian ini. Contohnya, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz mengumumkan pada 26 Jun tahun lepas tentang rancangan kerajaan pusat untuk memberi status PR kepada 10,000 hingga 15,000 pelarian di Sabah.


Bagaimanapun, rancangan itu ditolak mentah-mentah oleh kerajaan Sabah dengan berkata pandangan kerajaan negeri dan penduduk tempatan perlu diambil kira terlebih dulu sebelum sebarang keputusan tentang isu itu dibuat.


Pada 28 Mei lepas, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata menurut anggaran, kini terdapat 440,000 orang asing di Sabah dan daripada jumlah itu, 230,000 adalah orang asing yang bekerja secara sah, 130,000 pendatang asing tanpa izin, manakala selebihnya adalah pelarian dari Filipina.


Ini menunjukkan betapa seriusnya masalah berkaitan pendatang asing tanpa izin dan keperluan mempunyai pelan strategik yang jelas, terutama yang melibatkan masa depan pelarian Filipina di Sabah.


Penganalisis politik Clarence Sinsua berkata kerajan sepatutnya menetapkan tempoh masa bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi pemegang IMM13 dan membuat keputusan tentang langkah terbaik yang perlu diambil bagi mengatasi sepenuhnya masalah berkaitan kumpulan ini.


Beliau berkata pada masa lepas, kerajaan menetapkan tempoh masa bagi menyelesaikan masalah berkaitan pelarian Vietnam di Semenanjung Malaysia dan kemudian menutup kem penempatan di Pulau Bidong di Terengganu.


"Saya tidak nampak sebarang sebab kenapa kerajaan pusat tidak boleh mengambil tindakan serupa di Sabah. Memanglah penduduk tempatan memahami keadaan yang mereka hadapi dan sesetengah warga Filipina, sudah menjadi sebati dengan masyarakat setempat di Sabah. Tapi, rakyat Sabah tetap ingin melihat wujudnya penyelesaian berkekalan terhadap masalah yang telah lama berlarutan ini," katanya.


Sinsua berkata, anehnya, apabila orang bercakap tentang golongan itu, mereka jarang sekali mempunyai cerita positif dan selalunya ia dikaitkan dengan peningkatan indeks jenayah serta pelbagai masalah sosial lain seperti keadaan sesak di hospital, kemiskinan, kanak-kanak tidak berwarga negara dan kad pengenalan palsu.


"Bagaimanapun, kita perlu sentiasa ingat bahawa pelarian Flipina juga adalah manusia yang patut dilayan secara adil kerana kebanyakan mereka datang ke sini bagi mencari rezeki untuk hidup," katanya.


Beliau berkata jumlah anak pelarian Filipina yang buta huruf amat tingi serta memerlukan perhatian serius daripada kerajaan, di samping masalah berkaitan "peranan pelarian Filipina" dalam arena politik, terutama sebagai pengundi hantu, seperti yang didakwa oleh parti pembangkang.


Tesis terbaru Pusat Kewartawanan Asia (ACFJ), Ateneo De Manila University tentang pelarian Filipina di Sabah mendedahkan bahawa antara sebab kanak-kanak Filipina ini tidak dapat bersekolah ialah kerana mereka tidak memiliki dokumen sewajarnya atau kad pengenalan Malaysia, masalah kewangan dan ketiadaan kesedaran di kalangan ibu bapa tentang pentingnya pelajaran.


Tesis itu mendedahkan bahawa bagi ibu bapa berkenaan, pelajaran tidak penting dan mereka lebih suka anak mereka bekerja bagi mencari wang untuk keluarga.


Presiden Persatuan Pengguna Sabah (Cash) Datuk Patrik Sindu berkata berbeza dengan masalah pendatang asing tanpa izin, isu berkaitan pelarian Filipina memang sukar untuk diatasi.


Katanya masalah itu menuntut komitmen penuh kerajaan pusat melalui hubungan atau rundingan secara terus antara kerajaan Malaysia dan Filpina.


Beliau mencadangkan agar kerajaan negeri membuat penapisan secara menyeluruh dalam menentukan status semua pelarian Filipina di Sabah.


Pada waktu ini, pelarian Filipina yang memegang dokumen IMM13 berasa selesa tinggal di Sabah, tetapi, apa yang pasti, setiap mereka tentu menyimpan keinginan untuk menjengah keistimewaan yang terdapat di Tawi-Tawi, yang merupakan daerah warisan nenek moyang mereka.



BERNAMA