Friday, November 6, 2009

Mohammad Fuad Stephens
































Sumber : Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas.

Tun Haji Mohammad Fuad Stephens (14 September 1920, Kudat - 6 Jun 1976, Kota Kinabalu), sebelum ini dikenali sebagai Donald Stephens, merupakan Ketua Menteri Sabah yang pertama dan kelima. Beliau juga merupakan Yang di-Pertua Negeri Sabah ketiga.

Tun Fuad mengasaskan Pertubuhan Kebangsaan Kadazan Bersatu (UNKO) pada tahun 1961. Beliau terlibat dalam beberapa perundingan tentang penubuhan Malaysia. Tun Fuad ialah seorang ahli Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia. Beliau pernah menjadi Menteri Kerajaan Persekutuan, Ketua Menteri Sabah, dan Yang di-Pertua Negeri Sabah.

Pilihan raya 1976

Dalam pilihan raya negeri Sabah pada 5-14 April 1976, Tun Fuad Stephens bertanding atas tiket Berjaya di kawasan N15 Kiulu melawan Datuk Payar Juman dari USNO. Tun Fuad menang mudah. Parti Berjaya menewaskan USNO setelah memenangi 28 daripada 48 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Tun Mohd Fuad bersama anggota kabinet mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah dan Menteri Sabah.

Tragedi Double Six

Pada 6 Jun 1976, kapal terbang kecil jenis GAF Nomad buatan Australia menjunam terpacak di Kampung Sembulan, 2km dari Kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Pesawat ini dikendalikan oleh Sabah Air dari Lapangan Terbang Labuan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kinabalu. 11 orang terbunuh termasuk anak kapal.

1. Ketua Menteri Sabah,Tun Mohd Fuad Stephens
2. Menteri Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Peter Mojuntin
3. Menteri Perhubungan dan Kerja Raya, Datuk Chong Tahin Vun
4. Menteri Kewangan Negeri, Datuk Salleh Sulong
5. Pembantu Menteri kepada Timbalan Ketua Menteri, Darius Binion
6. Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Wahid Peter Andau
7. Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah, Dr. Syed Hussein Wafa
8. Setiausaha Sulit kepada Menteri Kewangan Malaysia Tengku Razaleigh Hamzah, Ishak Atan
9. Pengawal peribadi kepada Tun Fuad, Koperal Said Mohammad
10. Juruterbang, Gandhi J. Nathan
11. Johari Tun Fuad Stephens

Punca kemalangan ialah kerana kapal terbang Nomad itu lebih muatan. Sepatutnya 6 penumpang sahaja tetapi diisi 11 orang. Juruterbang gagal menaikkan sayap pesawat untuk diselaraskan dengan tekanan minyak dan akhirnya menyebabkan kemalangan. Sejak itu, kerajaan tidak menggalakkan VIP menaiki pesawat sama pada waktu serentak terutama membabitkan jumlah yang ramai. Jenazah beliau dikebumikan di tanah perkuburan berhampiran Masjid Negeri Sabah, Kota Kinabalu.